TOYOTA GT-86 mengimbas kembali kegemilangan model Toyota Corolla GT (Levin AE86).
BERIKUT adalah model-model menarik dan terpilih yang dipamerkan pada Tokyo Motor Show 2011.

1 Volkswagen Bulli

Bulli sebenarnya bermaksud bas mikro atau van mini. Ia mula-mula dikenali sebagai Type 2 (tahun 1950) dan mendapat sambutan hangat di seluruh dunia berikutan bentuknya yang menarik dan sangat praktikal. Type 2 juga disifatkan sebagai pencetus kepada semua jenis van mini dan wagon yang ada pada hari ini.

Bulli dikuasakan oleh motor elektrik yang mampu menjana kuasa sehingga 85kW dan tork 270Nm. Bateri-bateri lithium ion yang disusun di bawah lantai kabin dan memiliki kapasiti 40kWh itu membolehkannya mencapai perjalanan sejauh 300 kilometer. Apabila dicas menerusi stesen pengecasan, baterinya boleh dicas penuh dalam tempoh kurang satu jam.

Selain motor elektrik, jentera itu juga boleh dipasang dengan enjin petrol atau diesel konvensional. Tidak perlu bimbang dari segi prestasi dan penjimatan minyak kerana enjin sekecil 1.0 liter tiga silinder atau 1.4 liter empat silinder buatan Volkswagen sememangnya bercekapan tinggi.
RUANG dalaman Bulli yang retro tetapi berteknologi tinggi.
2 Mitsubishi Mirage

Masih ingat dengan Proton Satria? Inilah model asalnya, Mitsubishi Mirage. Namun, Mirage baharu itu diangkat oleh Mitsubishi sebagai model strategiknya untuk pasaran global. Mula diperkenalkan pada tahun 1978, Mirage dikatakan intipati kepada usaha jurutera Mitsubishi memperoleh prestasi dan fungsi tertinggi daripada ruang yang terhad.
Mirage dibina di atas kerangka baharu yang ringan dan kukuh. Ia dijana oleh unit enjin 1.0 liter tiga silinder MIVEC dan disertakan dengan sistem brek janaan semula bagi tujuan pemulihan semula kuasa. Bagi memaksimumkan penjimatan minyak, Mirage dipasang dengan sistem melahu berhenti (idle stop) binaan Mitsubishi.

Jentera kompak itu bakal dipasarkan di Thailand pada Mac 2012 sebelum dikembangkan ke pasaran-pasaran berpotensi yang lain.

3 Suzuki Swift EV Hybrid

Berasaskan kepada model kompak popularnya, Suzuki menambah portfolio Swift menerusi model Swuft EV Hybrid. Dibina untuk kegunaan bandar dan jarak pendek, Swift "hijau" itu mampu bergerak sejauh 30 kilometer dengan sekali caj.

Jika bateri sudah habis, generator yang dikuasakan oleh enjin akan mula menggerakkan motor dan mengecas bateri. Maka, pengguna boleh meneruskan perjalanan tanpa rasa bimbang.

Model itu menggunakan enjin R06A bersesaran 658 kubik meter sebagai tambahan kepada bateri lithium ion yang digunakannya. Walaupun bersaiz kompak, Swift tetap menawarkan ruang penyimpanan barang yang sewajarnya.

Bahagian kabin yang dimonopoli warna putih dan hijau turut dipasang dengan papan pemuka serta meter canggih. Ia mempamerkan pelbagai maklumat penting menerusi teknologi futuristik.

4 Subaru BRZ

Cukup terkenal dengan enjin Boxer yang penuh kuasa, Subaru tampil dengan model BRZ. BRZ merujuk kepada enjin Boxer (B), R (pacuan roda belakang) dan Z (Zenith).

Apa yang menjadikan jentera itu istimewa ialah rekaan enjin Boxer yang rendah (low centre of gravity) dan berada di tengah-tengah kerangka tubuhnya. Reka letak itu sekali gus membolehkannya memperoleh prestasi dinamik yang sukar ditandingi.
BRZ pasti menjadi idaman mereka yang mahukan sebuah jentera sports penuh kuasa.


Masih belum dipastikan enjin Boxer yang mana satu bakal dipasang pada BRZ. Tetapi besar kemungkinan BRZ menggunakan khidmat enjin Boxer 2.0 liter yang dibangunkan khas untuknya.

Dijadual memasuki produksi pada tahun depan, Subaru memberi jaminan bahawa BRZ akan memberikan pengalaman pemanduan dan pengendalian sebuah jentera sports sebenar.

5 Toyota GT-86

Tidak dapat dinafikan bahawa kemunculan Toyota GT-86 sememangnya ditunggu ramai. Harus tahu bahawa ia dibina berasaskan kepada model terkenal Corolla GT atau Levin AE86 yang dikeluarkan di antara tahun 1983 hingga 1987.

Merupakan 'saudara rapat' dengan model sports keluaran Subaru, jentera tersebut menggunakan enjin Boxer bersesaran 2.0 liter. Sebagaimana yang dijangka, GT-86 mengaplikasikan sistem pacuan roda belakang, di samping teknologi pancitan terus Toyota, D-4S.

Transmisi yang ditawarkan ialah kotak gear manual atau automatik enam kelajuan, terserah kepada kecenderungan pembelinya. Apa yang pasti, model lagenda itu pasti membuatkan orang ramai kembali melihat Toyota sebagai pembuat kereta berprestasi tinggi yang berpengaruh sebagaimana sebelumnya. 

sumber:Kosmo[Garaj]

p/s:Gempak2 gila kereta kat atas ni.tapi harga dia pun gempak jugak agaknya.kalau sesapa yang nak beli tu memang kena ada DUIT la.Kalau aku ada duit memang aku nak beli Subaru BRZ tu.