PEMAIN import T-Team, Simukonda (dua dari kanan) akan tetap diturunkan pada aksi menentang Terengganu malam ini meskipun prestasinya belum mencapai tahap memuaskan. |
ADA dua misi yang perlu diselesaikan pasukan T-Team apabila turun berdepan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Pertamanya, skuad kendalian Yunus Alif itu mahu terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Super selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.
Keduanya, Yunus mahu menjadikan pertembungan 'abang-adik' ini sebagai medan menguji prestasi sebenar dan potensi yang ada pada penyerang importnya, Zacharia Simukonda.
"Ini adalah ujian besar buat kami apabila berdepan Terengganu yang merupakan sebuah pasukan hebat.
"Lagipun, saya akui mana-mana pasukan sentiasa mengintai kedudukan kami selaku pendahulu dan berhasrat untuk menewaskan kami.
"Jadi, saya jangkakan perlawanan malam esok (malam ini) pasti sengit kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan yang sama," jelasnya kepada Kosmo! semalam.
Namun, Yunus tanpa berselindung tetap meletakkan harapan kepada sentuhan Simukonda untuk menggegar jaring, sekali gus membantu kemenangan pasukan.
Katanya, kehadiran penyerang import dari Zambia itu telah dipersoalkan oleh segelintir penyokong T-Team ekoran prestasi hambar yang dipamerkan pada aksi menentang Sabah lalu.
"Saya masih yakin dengan kemampuan Simukonda, dan dia mungkin masih perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan permainan T-Team.
"Apa yang pasti, semua pemain juga perlu memainkan peranan sama dan memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, reputasi Terengganu sebagai naib juara Liga Super musim lalu perlu diberi perhatian, terutamanya dengan kehadiran dua pemain import mereka.
"Kebanyakan pemain dalam pasukan T-Team adalah bekas pemain Terengganu dan begitu juga sebaliknya.
"Justeru, kami sebagai sebuah pasukan kelab tetap menghormati Terengganu," katanya.
SUMBER:Kosmo!