VILLAS-BOAS menafikan Torres (kiri) dibayangi kelibat Drogba, sekali gus menolak cadangan agar kedua-dua pemain itu dipisahkan. |
LONDON - Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas menegaskan bahawa Fernando Torres tidak mengalami gangguan mental ketika berurusan dengan Didier Drogba.
Sebelum ini, bekas jurulatih Chelsea, Carlo Ancelotti mendakwa pemain bernilai £50 juta(RM 200.6 juta) itu 'tenggelam' dibayangi kelibat Drogba.
Beliau menganggap cara yang terbaik untuk mengembalikan rentak permainan penyerang Sepanyol tersebut dengan menjual rakan sepasukannya itu.
Namun Villas-Boas berkata, Ancelotti telah membuat suatu andaian yang salah dan bertegas bahawa Torres langsung tidak dibayangi kehebatan Drogba.
"Saya hormati pandangan Carlo tetapi bagi saya, bukan masalah itu yang dihadapi olehnya.
"Tidak terlintas langsung dalam fikiran saya untuk menjual Didier. Saya masih mengharapkannya dengan apa yang dia persembahkan sebagai seorang pemain dan ikon.
"Kita sedang bercakap mengenai dua pemain terbaik di dunia dan ia tidak adil untuk menjadikan Didier sebagai halangan kepada Fernando. Jika betul ini yang berlaku, ia mungkin disebabkan oleh kelemahan mental," jelas Villas-Boas.
Menurutnya lagi, bukan masalah sedemikian yang dihadapi oleh kedua-dua penyerang Chelsea itu di sini.
"Di dalam pasukan, anda perlu bersaing menewaskan yang terbaik. Ia sama dengan situasi yang dihadapi oleh Barcelona dan Real Madrid di Liga Sepanyol.
"Setiap orang perlu bersaing dengan orang yang sama hebat atau lebih baik daripadanya dan dia perlu menunjukkan yang dia berhak untuk berada dalam kesebelasan utama," kata Villas- Boas. - Agensi
SUMBER:Kosmo!